Ahad, 9 Oktober 2016

WARKAH AYAHANDA UNTUK CALON-CALON PENTAKSIRAN TINGKATAN 3 (PT3) 2016

Anakanda,
Ke hadapan anakanda calon-calon PT3 negeri Johor yang dikasihi. Ayahanda, warga Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah mendoakan agar anakanda sekalian dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk menghadapi Ujian bertulis PT3 pada 10 Oktober hingga 13 Oktober 2016 nanti. Ayahanda harapkan agar anakanda sentiasa tenang dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menduduki peperiksaan yang penting ini.

Diharapkan dengan kehadiran warkah ini, ayahanda berharap agar dapat menjadi pengganti diri ayahanda dan sesungguhnya anakanda tidak bersendirian dalam menghadapi saat-saat penting dalam kehidupan anakanda. Warkah ini juga umpama harapan dan kasih sayang yang tulus daripada ayahanda yang terlalu ingin melihat anakanda beroleh kejayaan yang cemerlang dalam kehidupan anakanda. Kegembiraan dan kecemerlangan anakanda adalah kepuasan dan kejayaan ayahanda jua.

Anakanda yang dikasihi,
Kejayaan yang hendak diraih sebenarnya memerlukan usaha yang berterusan, tiada kejayaan yang boleh dicapai dengan mudah. Walaupun begitu sekiranya anakanda bersungguh-sungguh dalam apa jua usaha, semua perkara menjadi mudah dan boleh dicapai. Anggaplah kesusahan semasa berusaha untuk cemerlang adalah pengalaman manis yang akan dikenang satu hari nanti. Sifat putus asa dan bertangguh hendaklah dibuang jauh-jauh dari dalam diri anakanda.

Seperkara yang ayahanda ingin berkongsi ialah jangan malu bertanya. Seperti kata pepatah Melayu “Malu Bertanya Sesat Jalan”. Tanyalah apa jua kemusykilan pada yang mahir. Di sekolah umpamanya kita mempunyai guru-guru yang cemerlang, kaunselor-kaunselor yang gemilang dan guru-guru pakar yang terbilang. Bertanyalah pada mereka semua. Semua persoalan akan terungkai. Bayangkanlah sekiranya anakanda rajin bertanya pada mereka, anakanda akan menjadi pelajar luar biasa dan cemerlang.

Anakanda yang dikasihi,
Ayahanda tahu bahawa masa kini semakin suntuk, ketika warkah ini dibaca, ayahanda rasa hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Ujian Bertulis PT3 akan berlangsung. Anakanda harus sentiasa tenang dan tabah serta dapat memahami dan memenuhi peraturan peperiksaan. Pastikan mendapat sokongan daripada ibu bapa, keluarga dan guru-guru. Minta restu dan berbuat baiklah pada mereka. Anakanda juga jangan melupakan jasa mereka yang bertungkus lumus menjadikan anakanda pandai. Mohonlah kemaafan dan doa daripada mereka. Ayahanda yakin mereka semua akan mendoakan anakanda. Sebelum ayahanda mengundurkan diri, sekali lagi ayahanda nasihatkan agar anakanda menjaga kesihatan dan bersenamlah selalu agar badan sihat dan cergas. Gunakanlah masa yang masih berbaki ini sebaik yang mungkin. Jangan buang masa kerana "Masa Itu Emas". Rajinlah mengulangkaji dan ketahuilah topik dan kemahiran yang masih belum dikuasai sepenuhnya.

Akhir kata sampaikan salam takzim ayahanda, warga Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah kepada ibu bapa dan guru-guru anakanda. Semoga visi kita "Kerja Berkualiti, Ibadah Dihayati" menjadi kenyataan. Selamat menduduki Ujian Bertulis PT3. Semoga berjaya dengan cemerlang.



Daripada Ayahanda


(HAJI SHAHARUDIN BIN SHARIF)
PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI JOHOR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan